LATAR BELAKANG
Pada tahun 1999, Jabatan
Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan satu Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1
Tahun 1999 iaitu Panduan Mewujudkan Perkhidmatan Kaunseling di Agensi Awam.
Melalui pekeliling ini setiap kementerian dan jabatan diharapkan dapat
menubuhkan Unit Perkhidmatan Kaunseling secara formal dan terancang. Sementara
Pegawai Kaunseling yang dilantik terdiri daripada pegawai-pegawai sedia ada dan
mereka perlu diberi latihan kemahiran asas kaunseling.
Bagi memenuhi keperluan ini,
Bahagian Perkhidmatan Psikologi telah menyediakan 3 tahap modul Program
Peningkatan Kemahiran Kaunseling (PPKK) untuk digunakan oleh kementerian dan
jabatan. Setiap modul dilaksanakan selama 3 hari. Tujuan program ini ialah
untuk memberi pendedahan dan pemahaman berhubung fungsi dan peranan kaunseling
kepada pegawai dalam Perkhidmatan Awam.
Selain itu, ia juga untuk
meningkatkan pemahaman dan kemahiran kaunseling kepada pegawai agar aplikasi
psikologi dapat diterapkan dalam pengurusan sumber manusia di
kementerian/jabatan dan agensi kerajaan. Melalui peningkatan kemahiran ini,
maka pendekatan modal insan dapat dibangunkan. Pegawai yang telah tamat
ketiga-tiga tahap program tersebut layak dilantik sebagai Rakan Pembimbing
Perkhidmatan Awam (AKRAB) serta boleh berfungsi sebagai rakan pembimbing dan
mentor di kementerian/jabatan masing-masing.
AKRAB
Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam atau
AKRAB merupakan nama khusus bagi pegawai yang dilantik sebagai pembimbing rakan
sekerja sepertimana yang dikehendaki dalam Pekeliling perkhidmatan bilangan 18
tahun 2005.
AKRAB diwujudkan dengan objektif bagi
menyediakan medium perantara untuk memberi peluang pegawai berfungsi secara
efektif dalam usaha membantu Pengurus Sumber Manusia di agensi. Di samping itu,
ia juga sebagai penyumbang kepada usaha pembangunan modal insan dalam
Pengurusan Sumber Manusia.
AKRAB terdiri daripada pegawai yang
telah dilatih dan memenuhi syarat kursus bagi Program Peningkatan Kemahiran
Kaunseling (PPKK) sebanyak tiga peringkat iaitu asas, pertengahan dan lanjutan
yang dianjurkan oleh agensi masing-masing. Manakala inputnya disediakan oleh
Bahagian Perkhidmatan Psikologi (BPPs) AKRAB membawa maksud Amanah, Komitmen,
Rasional, Akhlak, Bestari merupakan ciri-ciri penting perlu ada pada seorang
rakan pembimbing.
AKRAB juga merupakan penjenamaan
semula versi rakan pembimbing, pembimbing rakan sekerja, pegawai khidmat
nasihat, pegawai khidmat kaunseling dan pelbagai nama yang merujuk kepada
peranan sebagai rakan pembimbing di agensi. Ini bermakna, di dalam perkhidmatan
awam, mereka yang memainkan peranan sebagai rakan pembimbing keseluruhannya
akan dikenali sebagai AKRAB.